lumut habis ditanam nama

mudahnya meratah ayam bila sudah masak
semudah menelan isi ikan tanpa tulang
mudah juga meludah tepi jalan
mudah kerbau itu berlari dalam mata tertutup

kala jengking boleh bersatu dengan ular?
setiap geri semuanya tak sama
langkah kiri
langkah kanan
semuanya meludah jalan sama
kenapa masing-masing ego sedangkan tinggi kelapa
keduanya tak sampai

kuda beban?
masih dalam perjalanan
membawa lembu mati
membawa hurungan lalat
membawa sekelumit puspa
mustika kanda bukan sekadar bahasa jiwa. apa yang diucapkan tak sama dengan perasaan hati. hati dan perasaan masih bukan sebahagian untuk di-sukma-kan. semusim berubah, asalnya direkod dalam suatu cakera hitam

padat
pejal
kukuh
biar semuanya tidak bergerak
dalam gumpalan awan, cinta tetap abadi
supaya kau tahu ludahan itu masih boleh dijilat dalam masa terdekat
gambar itu
lukisan itu
semuanya disimpan peram
disimpan kelu

mengharum nama, mewangi nama sejauh itu tidak dikisar jadi lumut.

kuda beban

Dengan satu sajak, aku gulung benteng yang mengepung. Dengan sebaris madah, aku sepikan semua riuh. Ku hapus semua gelojoh buat suaraku meluncur mewah.
Mikrofon depan mulut
Suara tak terpacul keluar
Diam
Bisu
Tak mengapa

Kalah dan gagal suatu kosa-kata membawa maksud berbeza.
Kalah kita jatuh
Gagal kita pedih

Semua langkah dah dikunci, semua pintu dah ditutup
Apakah aku memuncak kegilaan?

Jantanmu sekarang di mana?
Kelmarin bicara kau yang menggaung benua
Didihkan sendiri api yang kau bara
Larilah jika boleh
Hendak ku lihat jantan sikapmu
Selepas segala tumbuk telah ku alih.

Dunia, kau sombong.
Aku tidak mahu keluar dari diriku,
Kemudian rupaku selalu biru begitu
Atau ada tanda melumuri kalbu
Atau juga yang kau jadikan bahan hatiku

Kita panggil segala cita yang bertebaran
Dipercik cahaya pada ombak merenjis dada
Selesainya datang selepas hanya permulaan langkah berkata.
Kita berhadapan dengan kenyataan membongkar iman
Benarkah keberanian kita cukup merebut janji segunung atau kekurangan kita hanya cukup untuk bermenung. Kita belum sampai penghujung jalan yang hijau. Boleh kita berpaling atau bertemu selisih
Kepuasan kerana hancur atau bangun kerana teguh.

Satu nikmat hidup memulai dari satu pengenalan
Kerana tiap kita kuda beban yang terus berkeliaran liar.

cukup jangan tambah lagi

Nasib begini datang
Seorang berjiwa datang,
Seorang menangisi senang.
Cuba untuk aku hiris hati melalui sinisan hujung jari

Lahir hidup manusia mencari terang
Mungkin menyerang melalui jalan yang hujungnya hilang. Tertembung tingkah-laku kelam usang. Berlarian berselisihan. Manusia terasing sentiasa terasing.

Larut hidup manusia mengenali cinta
Cinta darah, cinta degup paras dada
Terlanggar permintaan sendiri mengasing
Terpaksa memisah kerana bicara dunia sudah lain
Tak peduli, semuanya diterus terang
Ketakutan yang mencekik tengkorak memusingkan kiblat bertolak

Manusia sekarang didera kenyataan yang terentang lancang
Nafas pusaran menyengkang langsung menyumbang sumbang
Adakah keputusan hati telah tertahan kerana menelan sikap?
Tiada berani mengucapkan niat yang paling lantang.

Tidak guna mesra pada kata
Yang diucap antara hati dan dera. Dada setelah hanya merumuskan buih selera. Lega hanya menyusun tiap retak hati mereka.

Manusia ini menghadapi hatinya berwilayah curiga
Daerah yang bererti adalah paling sepi
Kita ketinggalan sendiri meraung keliling sehingga senja meratapi
Bahawa kita harus bertolak kerana kehadiran di sini
Kehadiran tidak dimintak!

Bukan niat hidup mesti meratap hati
Kita diberi bekal untuk perjuangi segala akal
Kita akan kembali tapi selesainya lebih bererti
Daripada terus hidup kesimpulannya hanya mati
Biarkan aku menjadi penanggung sepi.